Salam sejahtera buat semua.
Tidak berapa lama selepas peperiksan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 berakhir tempoh hari, saya ada menerima satu soalan berkenaan bilakah tarikh pengumuman keputusan UPSR 2011. Saya tidak sangka begitu awal sekali pertanyaan tersebut diajukan.
Saya tidak pasti siapakah yang mengajukan soalan tersebut, sama ada murid Darjah 6 ataupun orang lain yang bertanyakan tentang soalan tersebut. Mungkin sudah ada pihak cikgu yang sebenarnya tahu mengenai tarikh pengumuman keputusan UPSR 2011 nanti.
Tidak seperti tahun lalu, saya mempunyai masa dan peluang untuk mengagak tarikh pengumuman UPSR 2010. Tahun lalu, keputusan UPSR 2010 diumumkan pada 11 November 2010, pada hari Khamis. Dijangkakan, pada tahun ini keputusan turut diumumkan pada hari Khamis.
Tahun ini, adik saya turut sama menduduki UPSR 2011. Ada kisah lucu semasa dia menduduki peperiksaan tersebut. Namun bukan itu yang saya nak ceritakan kali ini. Ada satu hal yang memang sebenarnya sudah serasi dengan peperiksaan awam di Malaysia iaitu masalah kebocoran soalan dan juga jawapan!
Kebocoran Soalan dan Jawapan UPSR 2011
Selepas berakhirnya UPSR 2011 tempoh hari, saya mendengar sendiri perbualan mengenai perkara ini dalam kalangan para cikgu. Dimaklumkan, sehari sebelum pelajar menduduki UPSR, bagi sekolah/cikgu yang ada mendapat soalan atau jawapan bocor, pelajar ditahan di sekolah semata-mata untuk disuap dengan semua maklumat yang ada.
[Izzi]
Kebocoran ini lebih dikatakan lebih banyak berlaku dalam kalangan cikgu yang menggubal soalan UPSR 2011. Lebih tidak enak lagi apabila dikatakan negeri yang paling ramai terdapatnya penggubal soalan, maka negeri itulah nanti akan menjadi yang terbaik dalam UPSR 2011, seperti tahun-tahun sudah. Anda boleh semak sendiri negeri manakah yang saya maksudkan.
Saya pelik. Padahal murid Darjah 6 telah pun melalui kelas tambahan yang ada sampai ke waktu malam semata-mata untuk menempuh UPSR. Namun di saat akhir, ada pula cikgu yang melakukan pengkhianatan dengan membocorkan soalan/jawapan kepada pelajar.
Pada saya, perkara ini sama sahaja dengan kes Guru Besar sekolah menghalang pelajar daripada menduduki UPSR seperti kes yang terjadi di Sarawak semata untuk mengelakkan daripada keputusan murid tersebut merosakkan prestasi keseluruhan. Selepas itu timbul lagi kes murid tidak dibenar menduduki UPSR di Baling, Kedah.
Nasiblah UPSR tidak dimansuhkan. Sangat “bertanggungjawab” sikap para cikgu yang melakukan perbuatan membocorkan soalan/jawapan tersebut. Mungkin ada yang kata, “ala, setakat UPSR je pun”. Inilah pengkhianatan terhadap pelajar sebenarnya. Mungkin lebih baik kalau kelas tambahan tidak diadakan langsung jika soalan/jawapan akan dibocorkan sebelum menduduki peperiksaan.
Jika anda juga anda mendengar atau pernah melalui kes yang serupa, kongsikan dengan kami agar lebih ramai yang sedar dan tahu akan perkara ini. Sekian.
beliamuda: Ramai yang tahu, tapi ramai juga yang tutup sebelah mata!