Salam sejahtera buat semua.
Image may be NSFW.
Clik here to view.
Dalam proses saya mengikuti arus sistem pendidikan dan persekolahan di Malaysia, ada tiga titik masa yang menjadi turning point paling berkesan dalam hidup saya.
Pertama adalah semasa zaman UPSR yang mana adalah tahun terakhir di alam sekolah rendah dan menjadi penentu kepada hala tuju ke alam persekolahan di peringkat menengah. Yang kedua adalah zaman PMR di mana peperiksaan awam bagi peringkat menengah rendah yang juga adalah tahun terakhir saya bersekolah di MRSM Transkrian. Terakhir sekali, zaman SPM yang merupakan titik perubahan paling besar dan yang menjadi permulaan sebelum melangkah ke alam universiti.
Ketiga-tiga peristiwa di atas adalah tiga peperiksaan awam yang terbesar di Malaysia bagi peringkat pendidikan yang berkenaan. Namun, dalam berita yang dilaporkan hari ini, UPSR dan PMR digambarkan bakal dimansuhkan.
Berikut adalah petikan berita tersebut.
Kementerian Pelajaran membayangkan kemungkinan akan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di masa hadapan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau melihat ada kewajaran untuk berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.
“Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu sahaja peperiksaan awam, seperti (contohnya) di peringkat SPM sahaja,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh hari ini.
Beliau berkata, peperiksaan UPSR dan PMR mungkin akan diteruskan, tetapi sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, dan bukannya sebagai peperiksaan awam.
Katanya, pihak kementerian tidak akan gopoh dalam membuat keputusan dan sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak mengenainya. – Bernama
Jika pemansuhan ini dilakukan sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan pendidikan yang berorientasikan peperiksaan, mungkin ia antara langkah yang baik pada pandangan saya. Sekurang-kurangnya ia akan mengurangkan keseriusan gejala pendidikan sekarang walaupun ia tetap sukar diubah.
Melihat kepada keadaan sekarang, para ibu bapa bertungkus lumus menghantar anak-anak ke kelas tambahan dan tuisyen di luar sekolah semata-mata mahu anak mereka mendapat kelulusan cemerlang dalam peperiksaan, sedangkan tujuan sebenar pendidikan adalah lebih daripada itu.
Mungkin ada baiknya jika peperiksaan seperti UPSR dan PMR ini dilaksanakan sendiri oleh pihak sekolah (sebagai kayu pengukur prestasi pelajar untuk membolehkan mereka melanjutkan pembelajaran ke sekolah berasrama penuh). Namun, saya tidak menolak langkah ini ada baik buruknya. Diharapkan, kementerian menilai dengan lebih mendalam akan hal ini.
beliamuda: Tarikh UPSR, PMR dan SPM 2010